Majlis Sambutan Hari Raya

Majlis Hari Raya Aidilfitri antara pelajar dan pensyarah yang disambut dengan meriah pada bulan yang mulia ini. Walaupun para pelajar sibuk dengan kerja masing masing tapi kami tetap dapat berhibur bersama sama untuk menjayakan majlis ini.

Kampus Limkokwing Academy Kelantan

Terletak di Kompleks YAKIN di Jalan Gajah Mati, berhampiran dengan Bazaar Tuan Padang, berhadapan dengan bulatan arca Al Quran. Kampus ini menempatkan ruang pembelajaran di keseluruhan tingkat 3 bangunan tersebut.

Majlis Hari Raya Bersama Kanak Kanak Spastik

Program Raya bersama kanak kanak spstik ini diadakan di Pusat Asuhan Harian Kanak Kanak Spastik (PUSAKAS), Pengkalan Chepa. Hampir kesemua pelajar Limkokwing Academy Kelantan hadir bagi memeriahkan Majlis Hari raya ini.

Limkokwing Academy Kelantan

Program kerjasama akademik antara Kerajaan Negeri Kelantan Darul Naim dan Limkokwing International Academy of Creativity and Innovation untuk memperkasakan pendidikan modal insan yang memfokus kepada pembangunan pemikiran kreatif dan teknologi terkini.

Friday, 13 September 2013






KOTA BHARU 27 Ogos - Seramai 60 warga Akademi Limkokwing Kelantan (ALK) terdiri daripada penuntut dan pensyarah, meraikan lebih 100 pelajar dan kakitangan Pusat Asuhan Harian Kanak-kanak Spastik (Pusakas) sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri Gang Raya With Awesome People di Pengkalan Chepa semalam.

Menurut pensyarah pengiring, Ariza Mohd. Yusoff, program tersebut sebahagian daripada tuntutan program pengajian di akademi di mana penuntut harus menunjukkan kemahiran menganjurkan acara bersama masyarakat.

"Sepanjang semester ini sudah ada beberapa program yang dilaksanakan kumpulan pelajar kami, namun ini kali pertama mereka menganjurkan acara bersama kanak-kanak istimewa.

"Penilaian akan diberi berdasarkan kerjasama dan kebolehan ahli kumpulan melaksanakan apa yang telah dirancang dari awal hingga akhir," katanya ketika ditemui dalam majlis itu semalam.

Dalam pada itu, ketua kumpulan projek tersebut, Wan Mohd. Amin Wan Mohd. Affandi, 18, berkata, dia bersama enam lagi ahli kumpulannya telah merangka sebuah majlis Hari Raya Aidilfitri yang diselitkan dengan elemen permainan sukaneka antaranya kerusi muzik, meniup belon dan acara mengisi air dalam botol bagi menarik perhatian pelajar di pusat terbabit.

Jelas Wan Mohd. Amin yang merupakan penuntut program Multimedia, mereka berusaha bermula daripada pencarian dana untuk perbelanjaan menganjurkan jamuan dan juga hadiah serta duit raya kepada para pelajar di situ.

"Kami berterima kasih dengan kerjasama daripada pelbagai pihak termasuk Bank HSBC yang menaja duit raya serta rakan-rakan kami yang lain yang memberi sokongan penuh menjayakan majlis," katanya.

Salah seorang ahli kumpulan, Nurqiesha Hisham, 19, yang mengikuti program Pengurusan Perniagaan berkata, pengalaman kali pertama berinteraksi dengan pelajar istimewa menuntutnya untuk lebih bersabar melayan kerenah mereka.

"Pada mulanya kami berasa takut untuk mendekati kanak-kanak istimewa ini kerana bimbang terkasar tetapi para guru mereka memberi perangsang dan memberitahu kami kanak-kanak ini tidak sukar untuk bermesra dengan orang luar dengan syarat kita mempunyai perasaan kasih sayang yang ikhlas," katanya.

Majlis yang berlangsung dari pukul 9 pagi hingga 12 tengah hari itu turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Kebajikan Anak-anak Yatim Kelantan (Yaatim) merangkap Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Pusakas, Mohamad Yaakob.

Sementara itu, Pengetua Pusakas, Samsuriati Salleh berkata, pihaknya amat menghargai program yang dilaksanakan penuntut ALK dan mengalu-alukan lebih banyak pihak tampil membantu pusat itu yang dikendalikan sepenuhnya oleh PIBG Pusakas.

Jelasnya, institusi pendidikan khas swasta yang berdaftar dengan Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu telah mula beroperasi sejak 1981 dan mempunyai 101 pelajar dari usia enam sehingga 30 tahun.

"Kami memberi pendidikan peringkat rendah, menengah dan vokasional kepada anak-anak yang mengalami Sindrom Down, Cerebral Palsy dan masalah pembelajaran serta terencat akal secara percuma," katanya.

Beliau berkata, pelajar di Pusakas mempunyai pencapaian cemerlang dalam sukan untuk orang kurang upaya (OKU), malah pernah mempunyai wakil di peringkat kebangsaan dan antarabangsa termasuk di Sukan Paralimpik, Beijing.



KOTA BHARU 12 Feb. - Seramai 36 pelajar kumpulan kedua Akademi Limkokwing Kelantan berjaya menonjolkan kreativiti mereka dalam rekabentuk asas tiga dimensi (3D) menerusi pertunjukan Ugly Head yang pertama kali diadakan di akademi itu baru-baru ini.
Kumpulan pelajar yang baru sahaja memulakan pengajian asas Diploma Profesional Bidang Rekabentuk pada November tahun lalu itu membentangkan projek kelas mereka dalam satu pertunjukan fesyen tetapi memfokuskan kepada hiasan kepala yang pelik atau hodoh

Menurut pensyarah rekabentuk akademi itu, Ramli Ismail, pertunjukan itu bertujuan melihat bagaimana pelajar menggabungkan elemen dan prinsip dalam rekabentuk dengan format 3D menerusi hiasan kepala yang dihasilkan.

Katanya, pelajar hanya mempunyai sebulan sebelum pertunjukan untuk mencari idea, merancang dan menghasilkan rekaan mereka dengan kebebasan penuh diberikan tanpa sekatan kepada kreativiti mereka.
Prinsip utama pengajian di sini ialah pembelajaran melalui penerokaan, saya ingin melihat bagaimana kebolehan pelajar menukar lukisan dua dimensi (2D) arca badan yang mereka lakar menjadi hidup kepada bentuk 3D.
Saya percaya walaupun kebanyakan mereka masuk ke sini tanpa asas dalam bidang ini namun dengan panduan dan cara pembentukan yang terbaik, kita dapat membantu mereka membangunkan personaliti mereka sendiri seterusnya menjadi individu kreatif.

Tema kita untuk projek ini ialah Ugly Head yang boleh ditafsirkan sebagai perkara luar biasa, pelik, hodoh, menjolok mata dan sebagainya," katanya.
Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia selepas pertunjukan Ugly Head yang turut dihadiri Pengarah Akademik, Akademi Limkokwing Kelantan, Dr. Zainal Rahman, baru-baru ini.
 
Pelajar yang memakai rekaan hiasan kepala yang mereka hasilkan sendiri pada pertunjukan itu telah menggunakan pelbagai material asas seperti penyapu lidi, pembaris plastik, kotak, kertas, tin minuman dan sebagainya.
 
Sementara itu, salah seorang pelajar yang ditemui, Ahmad Nashrul Atiq Mohd. Zain, 20, telah menghasilkan hiasan kepala bertajuk Deceased atau kematian dengan menggunakan surat khabar dan kapas yang disembur cat berwarna merah.
 
Ahmad Nashrul Atiq berkata, dia pada mulanya menghadapi kesukaran mencari bahan sesuai bagi merealisasikan ideanya untuk projek tersebut namun dengan panduan pensyarah dan kerjasama rakan-rakan, dia dapat menyiapkannya dalam masa seminggu.
Kehodohan yang saya ingin gambarkan ialah otak manusia yang tersembul keluar daripada kepala. Saya agak tertekan pada peringkat awal kerana buntu memilih bahan asas yang sesuai tetapi mujurlah pensyarah memberi panduan.

Saya gunakan kertas keras sebagai acuan kepala dan surat khabar yang digumpal pula dibalut dengan kapas di bahagian luar, kemudiannya disembur dengan cat merah dan mengambil masa sedikit untuk kering sepenuhnya," katanya.
 
Ahmad Nashrul Atiq yang sebelum ini pernah belajar selama setahun dalam bidang penyediaan makanan di salah sebuah politeknik berkata, dia bersyukur mengambil keputusan nekad berhenti dan menyambung pengajian semula dalam bidang yang amat diminatinya.
 
Saya percaya semua yang kita lakukan mesti berasaskan apa yang kita minat, yang perlu ialah keberanian untuk membuat perubahan dan berhadapan dengan kesilapan terutama dalam bidang kreatif yang saya pilih sekarang," katanya yang bercita-cita menjadi seorang perekabentuk berjaya.

Friday, 2 August 2013

Kini kita telah tiba di 10 hari terakhir Ramadhan. Lagu raya makin rancak berdendang. Ucapan raya juga sudah mula bertukar-tukaran. Maka di kesempatan ini, penulis mengambil kesempatan untuk menyampaikan salam kemaafan. Buat semua rakan dan taulan khususnya para blogger sekalian. Sebelum nantinya semakin sibuk dan tidak cukup tangan. =)


Berlalu sinar Ramadhan
daku infaki tamu ujian
berlalu cahaya Syawal
daku jejaki desa kenangan

Dalam gema takbir
daku memuji kebesaran Tuhan
dalam alunan tahmid
daku sujud penuh kesyukuran

Bersama huluran salam
daku pohon kemaafan insan
bersama ukiran senyuman
daku harmonikan sebuah persaudaraan

Kasih ditabur seharum kasturi
pusara nenda daku ziarahi
kasih disiram tumbuh mewangi
tua dan muda hibah diberi

Moga berbahagia di lebaran ini..
Selamat Hari Raya Aidilfitri
Maaf Zahir & Batin

Like this blog ?

My Favourite List

Popular Posts

Labels

Powered by Blogger.